Keratan Akhbar

Berita Harian, Johor, Isnin 12 Julai 2010

Siswa UTM tubuh Kelab 1Malaysia
Usaha pelajar bentuk perpaduan kaum, tingkat kreativiti, inovatif

Oleh Mohamad Fahd Rahmat
bhnews@bharian.com.my

JOHOR BAHRU: Lahir atas kesedaran perpaduan bangsa tanpa mengira kaum perlu dijaga oleh segenap lapisan masyarakat, mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mengorak langkah menubuhkan Kelab 1Malaysia, kelab pertama seumpamanya yang ditubuhkan di institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Bermatlamat membentuk komuniti yang kreatif dan inovatif melalui kepelbagaian kaum sekali gus menyumbang kepada kemajuan universiti, Kelab 1Malaysia UTM dirasmikan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan di Dewan Sultan Iskandar di sini.

Ahmad Maslan berkata, mahasiswa perlu menggunakan masa sebaik mungkin semasa berada di universiti kerana negara amat memerlukan golongan intelektual bagi menjamin kegemilangan bangsa.

"Mahasiswa adalah pewaris kegemilangan bangsa dan harapan untuk menjadikan Malaysia kekal cemerlang, gemilang serta terbilang selaras dengan konsep 1Malaysia.

AHMAD melancarkan buku Mencipta Kecemerlangan Diri disaksikan Zaini
AHMAD melancarkan buku Mencipta
Kecemerlangan Diri disaksikan Zaini (dua dari kanan).

“Gunakanlah masa di universiti ini untuk menyediakan diri dengan sebaik mungkin kerana negara amat memerlukan golongan intelektual yang mampu membina sebuah negara yang berjaya dan disegani serata dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian di hadapan lebih 1400 mahasiswa baru UTM sempena Minggu Transformasi Mahasiswa, baru–baru ini.

Ahmad berkata, mahasiswa perlu meningkatkan pengetahuan dalam segenap perkara dan mengamalkan budaya pelajar cemerlang.

“Tidak salah jika mahasiswa ingin mengambil tahu dalam segenap perkara kerana itulah tujuan berada di universiti tetapi maklumat yang diterima perlu mengambil kira pandangan kedua belah pihak bagi mendapatkan gambaran jelas sebelum membuat keputusan.

“Mahasiswa perlu mengamalkan budaya prestasi tinggi, ilmu, inovasi, ketepatan, integriti, ketabahan, kesetiaan, kebijaksanaan dan mengamalkan sikap amanah, akrab, aktif, bercita-cita, serta berakhlak mulia,” katanya

Katanya, mahasiswa perlu bersyukur kerana berpeluang menjejakkan kaki ke universiti kerana ramai lagi yang mengimpikan berbuat demikian tetapi kurang bernasib baik.

Naib Canselor UTM, Datuk Ir Dr Zaini Ujang berkata, kehidupan kampus adalah cabaran baru kepada mahasiswa dan universiti bersedia memberi didikan, dorongan serta bimbingan bagi membentuk graduan berkualiti.

“Universiti menggalakkan apa jua program mahasiswa bagi menjana penemuan idea, inovasi, reka cipta dan mahasiswa sendiri seharusnya memupuk sikap tanggungjawab dalam diri serta berdaya saing tinggi dengan menumpukan aspek pengajaran dan pembelajaran dalam kuliah,” katanya.

Sementara itu, Wong Siew Fei, 20, berasal dari Sibu Sarawak berkata, minat yang mendalam dalam bidang cari gali minyak dan gas mendorong beliau bercita–cita untuk bekerja di pelantar minyak satu hari nanti.

“Saya anggap kursus kejuruteraan petroleum adalah kursus yang sangat mencabar dan perlu berusaha bersungguh–sungguh bagi meraih kejayaan cemerlang.

“Walaupun bidang ini lazimnya dikaitkan dengan aktiviti lasak yang hanya layak dilakukan golongan lelaki, saya berpendapat wanita dan lelaki kini sama taraf untuk bersaing,” katanya.

Siti Fathiah Mat Rahim, 19, berasal dari Kok Lanas Kelantan berkata, beliau bertekad untuk belajar bersungguh bagi mencapai cita–citanya menyambung pengajian sehingga peringkat doktor falsafah.

“Saya mengambil kursus kejuruteraan ‘remote sensing’ selama empat tahun di sini dan berazam bagi memenuhi harapan keluarga untuk melihat saya belajar sehingga peringkat doktor falsafah,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad turut melancarkan buku Mencipta Kecemerlangan Diri tulisan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Mahasiswa dan Alumni UTM, Profesor Dr Mohd Tajudin Ninggal.

» Aktiviti Penerbit

Anugerah Buku Negara 2012

» Waktu Solat
8 Februari 2012M /
15 Rabiul Awal 1433H
Johor Bahru, Kota Tinggi dan Mersing
Subuh Zuhur Asar Maghrib Isyak
05:58 13:21 16:41 19:22 20:33
Kuala Lumpur, Putrajaya dan Shah Alam
Subuh Zuhur Asar Maghrib Isyak
06:08 13:29 16:49 19:28 20:39
Sumber: Al-Azim.com


Tarikh akhir kemaskini Keratan Akhbar : Khamis 15-07-2010 12:31:04