Mengangkasa Pengajian Tinggi merupakan cetusan pandangan penulis tentang pengajian tinggi, sektor yang semakin menjadi perhatian umum dalam usaha penghayatan budaya ilmu dan peningkatan kualiti, terutamanya dalam kalangan pelajar dan graduan. Ini sering kali diperkatakan kerana sejak sekian lama universiti adalah sinonim dengan perkembangan ilmu, tamadun ilmu dan tradisi yang memartabatkan ilmu.
Buku ini menjawab beberapa persoalan berkaitan, antaranya: Apakah dengan adanya ratusan IPT meningkatkan lagi penghayatan budaya ilmu dalam kalangan rakyat Malaysia? Apakah kepentingan ilmu dan peranan ilmuwan semakin menyerlah dalam skema pembangunan negara? Apakah nilai-nilai ilmu yang tercerna dalam bentuk amalan mulia dan berbudi menjadi semakin sebati dalam kehidupan bermasyarakat dengan meningkatnya bilangan dan pengaruh golongan berpendidikan tinggi?
Buku ini sesuai dibaca oleh kalangan pembuat dasar, pihak pengurusan universiti, pentadbir, para penyelidik, ahli akademik dan intelektual, pencinta ilmu, pelajar dan calon sarjana. Bahkan buku ini juga sesuai dibaca oleh kalangan penyelidik di pusat penyelidikan, syarikat dan sesiapa sahaja yang berminat tentang isu intelektual dan persoalan Pengajian Tinggi.
Buku ini mengupas secara kritis, sintesis dan rasional persoalan yang merentas perspektif pengajian tinggi secara menyeluruh.
~Dato Seri Mohamed Khaled Nordin~
Menteri Pengajian Tinggi Malaysia
Buku ini memberi gambaran menyeluruh kejayaan serta cabaran dalam pengajian tinggi negara. Perlu dibaca oleh semua tokoh akademik dan rakyat Malaysia yang ingin melihat pengajian tinggi negara ini bertaraf dunia.
~Dato Mustapa Mohamed~
Menteri Pertanian & Industri Asas Tani/
Mantan Menteri Pengajian Tinggi Malaysia (2006 2008)
Penelitian ini satu-satunya khazanah negara yang mencerminkan perspektif yang jauh dan mendalam oleh seorang tokoh akademik tentang perkembangan dan arah tuju pengajian tinggi di Malaysia ke arah kecemerlangan.
~Dato Ir. Dr. A. Bakar Jaafar~
Ahli Lembaga Pengarah/
Universiti Malaysia Terengganu
Sebuah karya yang mengutarakan persoalan, cetusan, pandangan, cadangan, dan kritikan dengan kritis, mantap dan menyeluruh bagi mengangkasakan sektor pengajian tinggi negara. Pengajian tinggi bukan sahaja menyediakan proses pengijazahan sebagaimana dijelaskan dalam buku ini, pengajian tinggi juga menyediakan modal insan dalam perspektif holistik yakni aspek kemahiran insaniah, pembangunan intelektual dan rohani serta kesediaan untuk memasuki alam pekerjaan. Justeru, karya ini patut dibaca oleh setiap komuniti akademia di institusi pengajian tinggi negara, bahkan sesuai dibaca oleh para penyelidik di institusi penyelidikan dan sektor swasta.
~Prof. Ir. Dr. Zainai Mohamed~
Naib Canselor/
Universiti Malaysia Kelantan
 |
Zaini Ujang merupakan antara pemikir dan aktivis intelektual tempatan yang sering kali mengemukakan gagasan dan cadangan untuk mengangkasa pengajian tinggi di Malaysia. Dengan latar belakang beliau yang mendapat pendidikan rendah, menengah dan tinggi di luar kelompok pengajian elit, maka pandangan yang termuat dalam buku ini penting dan relevan dalam konteks pembangunan pengajian tinggi secara lebih komprehensif dan futuristik.
|
Zaini mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Dato Undang Abdul Manaf, Johol, Negeri Sembilan dan Sekolah Rendah Sultan Sulaiman I, Kuala Terengganu, sebelum melanjutkan pengajian di Sekolah Menengah Kem Terendak dan Sekolah Ghaffar Baba, Melaka. Beliau memperoleh Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Kejuruteraan Kimia dari Universiti Teknologi Malaysia pada tahun 1988, dan Ijazah Sarjana (1991) dan Doktor Falsafah (1996) dalam bidang Kejuruteraan Alam Sekitar dari Universiti Newcastle, United Kingdom.
Zaini kini ialah Naib Canselor, Universiti Teknologi Malaysia. Beliau juga merupakan Profesor Kejuruteraan Awam Sekitar sejak tahun 2002 dan sebagai jurutera dan saintis bertauliah di Britain dan jurutera profesional di Malaysia. Beliau dikenali kerana sumbangan dalam bidang penyelidikan dan penerbitan dalam Pengurusan Alam Sekitar dan Kejuruteraan Rawatan Air. Menjadi Ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) pada tahun 2007, Naib Presiden Persatuan Air Antarabangsa (IWA) pada tahun 20042006, Timbalan Presiden Persatuan Air Malaysia (20072009) dan editor bagi tiga jurnal berimpak tinggi terbitan IWA London.